SEJARAH


PENGENALAN

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


OBJEKTIF HARI GURU MALAYSIA


  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi).
  • Pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat. 
  • Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia. 
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru. 
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat. 
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

LOGO HARI GURU


Putih
- Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
 
Perak
- Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
 
Kuning
- Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan. 

Bulan dan bintang
- Membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.
 
Merah
- Menunjukkan keteguhan semangat.
 
Biru
- Menunjukkan perpaduan muhibah.

Dari pusat lambang tersebut, muncullah buku yang memberi ilmu pengetahuan dalam segala lapangan bagi kepentingan negara yang aman dan makmur.

Di hadapan buku didapati reka bentuk seorang murid yang sentiasa memerlukan pengajarandan pendidikan daripada guru. Dua reka bentuk di antara murid dan buku,ialah guru perempuan dan lelaki berfikiran sama dalam segala lapangan tentang mata pelajaran dan kokurikulum. Mereka sentiasa menggalakkan murid-murid supaya meninggikan mutu pelajaran dan kegiatan kokurikulum mengikut prinsip-prinsip Ruku Negara.

Dari bawah didapati satu garisanb ulat yang tebal mengandungi slogan "HIDUP BERBAKTI". Ini menjadi sebuah tapak yang luas dan kukuh membuktikan perpaduan guru.


IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung

Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


Lagu Hari Guru
(Lirik Lagu Kami Guru Malaysia) 

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

----- chorus --------

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan


Tema Hari Guru

2015    GURU : MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK
2014    Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
2013    Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda
2012    Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2011    Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010    Guru Pembina Negara Bangsa
2009    Guru Pembina Negara Bangsa
2008    Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007    Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006    Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005    Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004    Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003    Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002    Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001    Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000    Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999    Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998    Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997    Guru Bestari Sekolah Bestari
1996    Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995    Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994    Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993    Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992    Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991    Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990    Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989    Guru Pembina Budaya Ilmu
1988    Guru Pengasas Budaya Membaca
1987    Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986    Pendidikan Teras Nasionalisme
1985    Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984    Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983    Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982    Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981    Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980    Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979    Murid Sejahtera Negara Jaya
1978    Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977    Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976    Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975    Guru dan Pembangunan Negara
1974    Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973    Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972    Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara 



Definisi dan huraian tema Hari Guru 2015

GURU : MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK

1. DEFINISI

1.1 GURU: Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara. Guru merupakan insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya dan mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan.

1.2 MEMBINA ILMU: Individu yang membangunkan dan membentuk atau mewujudkan kualiti pada setiap insan dan keilmuan. Dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu muridi/pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (kognitIf).

1.3 MENYEMPURNAKAN: Menjadikan sempurna atau lengkap. Warga pendidik berperanan untuk menyempurnakan keberhasilan murid berpandukan enam aspirasi murid yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

1.4 AKHLAK: Budi pekerti dan nilai-nilai murni sejagat yang perlu ada dan dihayati oleh setiap modal insan bagi mendepani cabaran dan perubahan dalam menjalani kehidupan.

2. HURAIAN

2.1 Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan bertaraf dunia. Warga Pendidik perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan serta membentuk insan peribadi mulia berpersonaliti unggul di dalam membina negara bangsa yang berkualiti.

2.2 Peranan guru tidak hanya terbatas kepada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu (knowledge development) dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan murid serta penggunaan bahan sumber secara berkesan.

2.3 Peranan guru adalah menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Seperti yang digarapkan dalam PPPM 2013-2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, 9etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru, guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

No comments:

Post a Comment